Wednesday, June 23, 2010

Jihad Dalam Menuntut Ilmu Dan Memerangi Kejahilan Dalam Masyarakat

Jihad dalam menuntut ilmu dan memerangi kejahilan dalam kehidupan merupakan satu usaha yang amat dititikberatkan. Ilmu merupakan alat yang utama dan amat berharga kepada manusia. Justeru, ilmu dapat mengubah manusia jahil kepada tahu gelap kepada cahaya, derita kepada bahagia, batil kepada al-haq sebagainya. Ini menunjukkan dengan ilmu, kejahilan dalam masyarakat dapat diatasi.

Perjuangan dan jihad merangsang masyarakat agar menghidupkan tradisi ilmu dan budaya membaca dalam membina kemajuan agar setanding dengan bangsa-bangsa asing dan membina sikap keterbukaan dalam hidup.

Islam mementingkan umatnya menguasai ilmu. Bahkan membenarkan setiap orang mencari ilmu walaupun di mana sahaja. Jelas bahawa ilmu itu perlu dicari. Ia tidak datang menggolek. Pernah pada suatu ketika seorang khalifah di zaman Abbasiyyah mahukan puteranya belajar. Jawab guru berkenaan, ilmu itu dicari bukan ditunggu dan mempunyai adabnya.

Seseorang yang berilmu bukan sahaja memiliki kebenaran malahan mempunyai keyakinan serta kesedaran terhadap tanggungjawabnya kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan tugas yang tertinggi sekali iaitu menjadi khalifah Allah S.W.T Tuhan Maha Pencipta.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan katanya; ”Aku mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ”Apabila anak Adam (yakni manusia) meninggal dunia maka semua amalannya terputus kecuali tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah dan anak yang soleh yang sering berdoa kepada kedua ibu bapa”.

Saidina Ali berkata; ”Ilmu adalah lebih utama. Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu. Harta akan berkurangan apabila engkau nafkahkan. Sedangkan ilmu bertambah subur bila engkau nafkahkan. Ilmu adalah hakim dan sebaliknya harta adalah sesuatu yang dihakimi”.

Kepentingan berjihad dalam menuntut ilmu mendorong individu untuk berjihad ke atasnya dan beristiqamah dalam memperjuangkannya. Ini akan membentuk peribadi yang bertaqwa dalam menentang hawa nafsu dan memaksa diri untuk mentaati Allah S.W.T. Demikian juga, ilmu dan taqwa merupakan buah dari amalan jihad pada jalan Allah S.W.T.irman Allah S.w.t bermaksud:

”Dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya”.

Keutamaan Ilmu Pengetahuan: Belajar Dan Mengajar
Ayat-ayat al-Quran banyak sekali membuktikan keutamaan ilmu pengetahuan. Diantaranya ialah: (surah Ali-Imran ayat 18)Maksudnya:

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Maka jelaslah hukum mengenai perkara-perkara yang berlaku itu harus dikembalikan kepada kebijaksanaan orang-orang yang berilmu pengetahuan, kerana martabt mereka ditingkatkan dengan martabat para Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah S.W.T.

Hadis-hadis Rasulullah saw juga banyak menyatakan berkenaan keutamaan ilmu pengetahuannya, antaranya ialah:
”Siapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah S.W.T, maka Allah S.W.T akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkanNya petunjuk didalamnya”.

”Para ulama itu adalah warisan para Nabi”.
Ini membuktikan tiada martabat yang lebih tinggi dari martabat kenabian, dan tiada kemulian yang lebih utama dari kemuliaan mewarisi martabat tersebut kecuali para ulama yang ada masa kini.

Bersabda Rasulullah saw dalam soal menentukan kelebihan Ilmu pengetahuan atas segala rupa bentuk ibadat dan penyaksian, sabdanya;
”Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadatnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan sahabatku”.

Cuba perhatikan, betapa ilmu pengetahuan itu dipersamakan seiring darjat kenabian, dan betapa direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi dari ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadat itu cukup mengetahui dengan ibadat yang dilakukan seharian, kerana sekiranya ibadat itu ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ia tidak boleh dinamakan sebagai ibadat. Rasulullah saw bersabda lagi;

”Kelebihan seorang alim ke atas seorang ”abid laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-bintang di langit.”

Dan di antara wasiat Luqman al-Hakim terhadap anaknya: Wahai anakku! Pergaulilah para alim ulama dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab Allah S.W.T menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit.

Keutamaan belajar dan mengajar dan mendalami ilmu pengetahuan merupakan salah satu faktor yang penting dalam usaha memartabatkan tradisi budaya ilmu.

hadis Rasulullah saw, sabdanya yang bermaksud:
”Barangsiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah S.W.T akan mendorong baginya jalan ke syurga.”
”Menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap orang muslim”.

Imam Syafie pula menyatakan: Menuntut ilmu lebih utama dari sembahyang Jumaat.
Abu Darda’ berkata: Kiranya saya dapat mempelajari suatu masalah, itu adalah lebih saya cintai daripada saya bangun beribadat sepanjang malam. Ia berkata lagi: Orang alim dan orang yang menuntut ilmu itu, adalah dua orang berkongsi dalam kebaikan. Sementara orang-orang selain keduanya adalah sia-sia belaka.
Berkata Ibnu Mas’ud r.a: Hendaklah kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ianya terangkat, dan tanda terangkatnya ilmu pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan sebagai seorang yang sudah pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar.
Apabila seseorang mempunyai ilmu maka wajiblah menyampaikan kepada masyarakat dengan pelbagai cara dan strategi, supaya umat Islam akan lebih berilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, proses pengajaran atau mengajar menjadi agenda yang terpenting agar tercapai matlamat tersebut.

Ini membuktikan bahawa orang yang berilmu pengetahuan wajib menyampaikan ilmu pengetahuan yang ada di dalam dadanya kepada masyarakat.
Dalam hadis Rasulullah saw banyak menyatakan keutamaan mengajar. Antaranya ialah: ”Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu lalu di sembunyikannya, nescaya di hari Qiamat nanti, ia akan dikekang oleh Allah S.W.T dengan tali kekang dari api neraka.”

”Sesungguhnya Allah S.W.T dan para MalaikatNya, Begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan yu di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang yang mengajar kebaikan kepada orang ramai.”

Begitulah kepentingan ilmu pengetahuan, keutamaan belajar dan mengajarkan ilmu memainkan peranan yang amat penting demi memastikan masyarakat kembali menghayati ilmu seterusnya membudayakan tradisi ilmu dalam kehidupan manusia.

Ilmu yang bermanfaat pada orang Islam ialah ilmu yang telah menerusi tapisan nilai-nilai Islam yang sekurang-kurangnya dapat mengukuhkan kebenaran Islam atau kekuatan Islam atau Muslim dalam aspek kehidupannya, dunia dan akhirat.

1 comment:

  1. Sungguh benar.

    http://lamanperpustakaan.blogspot.com/2011/02/ceramah-sempena-maulud-nabi.html

    ReplyDelete

Anda mungkin berminat untuk mendengar...

Loading...